Saturday, 21 May 2011

Kifarah dan Ujian

Kifarah adalah balasan Allah di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh seorang hambanya, juga ujian-ujian Allah itu boleh berlaku, yang mungkin melibatkan kematian orang yang dikasihi, kehilangan harta benda ataupun penyakit, tidak kira sama ada penyakit tersebut berlaku dalam tempoh masa yang lama ataupun sekejap bergantung kepada ketentuan (qada') Ilahi atau buat selama-lamanya sehingga mati.  Selagi ketentuan (qada') bagi sakit itu belum menepati qada' Allah, maka sakit (kifarah) tadi tidak akan sembuh biarpun pelbagai usaha dilakukan oleh manusia. Jelas disini membuktikan bahawa ada di antara penyakit itu akan sembuh dengan sendiri biarpun tanpa usaha manusia untuk mendapatkan kesembuhan ataupun tidak akan sembuh biarpun banyak usaha untuk menyembuhkannya telah dilakukan.
Sesungguhnya, apabila Allah s.w.t. itu mengasihi seseorang hamba Ia akan mengujinya.  Dan apabila Ia mengujinya, sama ada dengan menurunkan penyakit dan sebagainya, Allah akan memberikan kesabaran.  Dalam menghadapi cubaan seperti ini, kesabaran adalah paling utama.  Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab (az-Zumar: 10).

Allah s.w.t. menetapkan martabat seseorang pada maqam-maqam tertentu.  Namun amalan-amalan yang dilakukan olehnya tidak membolehkannya mencapai martabat yang ditetapkan.  Untuk membolehkan hamba berkenaan mencapai martabat tadi, Allah akan mengujinya, mungkin dengan menurunkan bala ke atasnya, seperti sakit, kehilangan pancaindera dan sebagainya.  Apabila diberi ujian maka Allah akan memberi kesabaran.  Dengan ini hamba berkenaan akan mencapai martabat tersebut. Demikianlah kehendak Allah terhadap hambaNya yang dikasihi.

Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri, ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa. (Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya, daripada satu bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah s.w.t. dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:-

"Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di kalangan kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Ketahulilah bahawa Allah Maha Berat azab-Nya." (Surah Al-Anfal: 25)

Tiga kategori manusia yang akan dibangkitkan di akhirat iaitu

  1. Mereka yang melakukan maksiat, degil serta ingkar perintah Allah SWT yang mendapat dua kali pembalasan azab iaitu di dunia dan di akhirat.
  2.  Orang baik dan membiarkan kejahatan berlaku yang akan dibalas di dunia serta akhirat kerana tidak menjalankan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan, melarang perbuatan mungkar.
  3.  Orang salih yang melakukan amal ibadat dengan tekun tetapi berdepan musibah di dunia dan mereka ini akan mendapat pelepasan di akhirat kerana kesabaran menerima ujian Allah SWT ketika di dunia.
Tidak dinafikan bahawa setiap sesuatu itu berlaku, mempunyai sebab musabab, dan boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia, namun pada hakikatnya disebalik fakta-fakta yang dapat diterima akal rasionalnya, qada' dan qadar Ilahi itu mengandungi rahsia-rahsia Ilahiyah yang tidak difahami oleh manusia. Allah swt menurunkan penyakit dan bala bencana kepada manusia sebagai peringatan dan balasan di atas hasil perbuatan yang mereka lakukan.

Jelas disini membuktikan bahawa setiap pihak itu perlu memainkan  peranan masing-masing.  Rasulullah s.a.w. menyuruh orang yang sakit agar berubat.  Pakar-pakar perubatan perlu berusaha, menyelidik dan mencari penemuan-penemuan baru untuk menangani penyakit berdasarkan latar belakang dan kepakaran masing-masing.  Masalah kesembuhan adalah urusan Tuhan.

No comments:

Post a Comment