Tuesday 28 June 2011

Penyakit Hati dalam Islam

Di antara fungsi hati, menurut Al-Ghazali, adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Allah telah menciptakan hati sebagai tempat Dia bersemayam. Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi: Langit dan bumi tidak dapat meliputiKu. Hanya hati manusia yang dapat meliputiKu.

Hadis ini menunjukkan bahwa fungsi hati adalah untuk mengenal Allah, mencintai Allah, menemui Allah, dan pada tingkat tertentu, melihat Allah atau berjumpa dengan-Nya. Hati yang berpenyakit ditandai dengan tertutupnya mata batin kita dari penglihatan-penglihatan ruhaniah.

Tanda-Tanda Penyakit Hati

Pertama, kehilangan cinta yang tulus. Orang yang menghidap penyakit hati tidak akan boleh mencintai orang lain dengan benar dan ikhlas. Dia tidak mampu mencintai keluarganya dengan ikhlas. Orang seperti itu agak payah mencintai Nabi, apalagi mencintai Tuhan yang lebih abstrak.

Oleh kerana dia tidak boleh mencintai dengan tulus, dia juga tidak akan mendapat kecintaan yang tulus dari orang lain. Sekiranya ada yang mencintainya dengan tulus, ia akan curiga akan kecintaan itu.

Kedua, kehilangan ketenteraman dan ketenangan batin. Antara penyebab hati tak tenteram adalah berpunca dari sifat-sifat mazmummah iaitu cinta dunia, tamak, kedekut, riak, pemarah, ego, pendendam, hasad dengki, buruk sangka dan tidak sabar.

Ketiga, memiliki hati dan mata yang keras. Pengidap penyakit hati mempunyai mata yang sukar terharu dan hati yang sulit tersentuh.

Keempat, kehilangan kekhusyukan dalam ibadat.

Kelima, malas beribadat atau beramal.

Keenam, senang melakukan dosa. Orang yang berpenyakit hati merasakan kebahagiaan dalam melakukan dosa. Tidak ada perasaan bersalah yang mengganggu dirinya sama sekali. Sebuah doa dari Nabi saw berbunyi: “Ya Allah, jadikanlah aku orang yang apabila berbuat baik aku berbahagia dan apabila aku berbuat dosa, aku cepat-cepat beristighfar.”

Di antara taubat yang tidak diterima Allah ialah taubat orang yang tidak pernah merasa perlu untuk bertaubat karena tak merasa berbuat dosa Kali pertama seseorang melakukan dosa, ia akan merasa bersalah.

Tetapi saat ia mengulanginya untuk kedua kali, rasa bersalah itu akan berkurang. Setelah ia berulang kali melakukan maksiat, ia akan mulai menyenangi kemaksiatan itu. Bahkan ia menjadi ketagihan untuk berbuat maksiat terus menerus.

Ini menandakan orang tersebut sudah berada dalam kategori firman Allah: “Dalam hatinya ada penyakit lalu Allah tambahkan penyakitnya.” (QS. Al-Baqarah: 10)

Dalam kitabnya Ihyâ ‘Ulûmuddîn, Al-Ghazali berbicara tentang tanda-tanda penyakit hati dan cara-cara untuk mengetahui penyakit hati tersebut. Ia menyebutkan sebuah doa yang isinya meminta agar kita diselamatkan dari berbagai jenis penyakit hati: “Ya Allah aku berlindung kepadamu dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak kenyang, mata yang tidak menangis, dan doa yang tidak diangkat.Doa yang berasal dari hadis Nabi saw ini, menunjukkan tanda-tanda orang yang mempunyai penyakit hati.

Merujuk pada doa di atas, kita boleh menyimpulkan ciri-ciri orang yang berpenyakit hati sebagai berikut:

Pertama, memiliki ilmu yang tidak bermanfaat. Ilmunya tidak berguna baginya dan tidak menjadikannya lebih dekat kepada Allah swt. Al-Quran menyebutkan orang yang betul-betul takut kepada Allah itu sebagai orang-orang memiliki ilmu: Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya ialah orang yang berilmu. (QS. Fathir: 28). Jika ada orang yang berilmu tapi tidak takut kepada Allah, bererti dia memiliki ilmu yang tidak bermanfaat.

Kedua, mempunyai hati yang tidak boleh khusyuk. Dalam menjalankan ibadah, ia tidak boleh mengkhusyukkan hatinya sehingga tidak boleh menikmati ibadahnya. Ibadah menjadi sebuah kegiatan rutin yang tidak mempengaruhi perilakunya sama sekali. Tanda lahiriah dari orang yang hatinya tidak khusyuk adalah matanya sukar menangis. Nabi saw menyebutnya sebagai jumûd al-‘ain (mata yang beku dan tidak bisa mencair).

Di dalam Al-Quran, Allah menyebut manusia-manusia yang salih sebagai mereka yang …seringkali terhempas dalam sujud dan menangis terisak-isak. (QS. Maryam: 58)

Ketiga, memiliki nafsu yang tidak pernah kenyang. Ia memendam cita-cita yang tak pernah habis, keinginan yang terus menerus, serta keserakahan yang takkan terpuaskan.

Adapun ciri keempat dari orang yang berpenyakit hati adalah doanya tidak diangkat dan didengar Tuhan.

Cara Mengubat Hati
Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA: “ Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, berpuasa atau mengosongkan perut dari terlalu kenyang. Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah ( beribadat ), berzikir berpanjangan di sepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.

Menurut Imam Al-Ghazali pula, ubat hati adalah dengan mencari guru yang mengetahui penyakit hati kita. Ketika kita datang kepada guru tersebut, kita harus datang dengan segala kepasrahan. Kita tidak boleh tersinggung jika guru itu memberitahukan penyakit hati kita.

Umar Ibn Al-Khattab pernah berkata, “Aku menghargai sahabat-sahabatku yang menunjukkan aib-aibku sebagai hadiah untukku.” Seorang guru harus mencintai kita dengan tulus dan begitu pula sebaliknya, Kita harus mencintai guru kita dengan tulus. Apa pun yang dikatakan guru, kita tidak menjadi marah.

Allah sangat tidak suka dengan hati yang selalu lalai, mudah-mudahan Allah SWT mengampuni semua dosa-dosa kita dan memelihara kita dan keluarga kita dari sifat-sifat yang tercela yang tidak akan mendapatka redha Allah dan rasulnya.

Teringat saya akan lagu yang kami nyanyikan (Tombo Ati oleh Opick) ketika kursus Amalan Kesogehan (AK) yang dikendalikan oleh Dato’ Dr Hj Rusly Abdullah. Lagu yang memberi kesan dan bermakna untuk kami, graduan AK.


Dan sebuah  lagu Ketulusan Hati -Annuar Zain. Lirik yang menyentuh hati..... Ya Allah, tetapkan hatiku di jalanMu, Ya Allah.

Hati dan Penyakit, Hati dan Perasaan

Hati adalah organ terpenting dalam badan manusia selepas jantung, melaksanakan tugas penting seperti metabolisma, menyahtoksik dan pembentukan sebatian termasuk pembekuan darah. Ia juga menapis, mengawal dan menyimpan darah.

Tekanan hidup atau ‘stress’, pengamalan diet yang tidak sihat, pengambilan ubat yang berlebihan adalah masalah biasa dalam cara hidup masyarakat moden kini. Ini akan menyebabkan tekanan dan kerosakan pada hati.

Hati juga mengawal dan mengatur fungsi badan yang mempengaruhi aktiviti mental dan emosi. Dalam teori Traditional and Complementary Medicine  (TCM), organ hati/liver (yin) dan organ pundi hempedu/gall bladder (yang) berhubungan langsung dengan mata, maksudnya adalah apabila ada kelainan pada mata maka yang dicurigai adalah adanya kelainan pada organ hati atau pundi hempedu, dan sebaliknya apabila organ hati sakit, maka akan mengakibatkan gangguan pada mata. Air mata adalah cairan yang dikeluarkan oleh mata. Jika air mata keluar tak terkendali maka kecurigaan pertama adalah kelainan fungsi organ hati atau pundi hempedu.

Didalam keadaaan penyakit, fungsi menyimpan darah dan pengawalan akan terjejas dan pendarahan atau pembekuan darah atau “clots˝ akan terhasil. Apabila darah dalam hati berkurangan, khasiat nutrien ke tendon, urat dan otot akan terganggu. Begitu juga sebaliknya jika tendon bekerja terlalu berat maka dapat melukai organ hati dan pundi hempedu.

Emosi yang berhubungan dengan organ hati/pundi hempedu  adalah marah dan bermusuhan. Jika orang terlalu  marah, depressi yang berpanjangan, maka boleh mengakibatkan organ hati/pundi hempedu  sakit, dan sebaliknya orang yang mengalami gangguan hati/ pundi hempedu biasanya mudah marah atau bermusuhan.

Menjerit adalah cerminan dari aktiviti hati, jika seseorang mengalami gangguan hati/pundi hempedu, dia akan cenderung banyak menjerit atau terlalu banyak menjerit dapat menyebabkan organ hati dan pundi hempedu sakit.

Perjalanan meridian hati melingkari organ kelamin. Hati bukan sahaja mempengaruhi jaringan tendon tetapi juga mempengaruhi pergerakan dan alat kelamin (penis dan vagina). Ia adalah organ atau channel penting yang melibatkan kitaran haid wanita seperti masalah haid tidak teratur dan masalah gynaecology yang lain.
  
Angin adalah hawa udara yang satu kelompok dengan organ hati dan pundi hempedu, orang yang mengalami kelainan hati maka akan sensitif terhadap angin dan sebaliknya apabila orang sering terkena angin misalnya angin malam, maka organ yang terserang adalah hati dan pundi hempedu.

Rasa yang mempengaruhi organ hati/pundi hempedu adalah rasa asam. Jika terlalu banyak makan makanan yang berasa asam maka organ hati/pundi hempedu dapat sakit atau jika organ hati/pundi hempedu ada gangguan, biasanya orang cenderung akan makan yang berasa asam. 

Monday 27 June 2011

Masalah Kesihatan Wanita

Antara masalah kesihatan yang dialami oleh kaum wanita adalah seperti berikut:-

·       Masalah keputihan (leukorrhea)
·       Haid tidak teratur
·       Sakit haid (dysmenorrhea)
·       Kelamin gatal (pruritos vulva)
·       Jangkitan kuman pada saluran kencing
·       Kerap membuang air kecil
·       Sukar membuang air besar (sembelit)
·       Angin dalam badan
·       Sakit pinggang (lumbago)
·       Lemah keinginan syahwat
·       Keletihan & sengal-sengal otot
·       Kekejangan otot kaki
·       Kebas-kebas pada jari tangan


Masalah-masalah kesihatan begini membuatkan kita kurang selesa dan nyaman. Apa pun, berita baiknya terdapat pelbagai pilihan rawatan untuk masalah ini. Kewajipannya terpulang kepada pesakit sendiri. Di Pusat Urutan Stimulatherapy, kami menawarkan perkhidmatan kesihatan melalui gabungan urutan stimulatherapy dan minuman herbal terpilih bagi membantu kaum Hawa mengatasi masalah kesihatan mereka.

STIMULATHERAPY

STIMULATHERAPY adalah sejenis terapi rangsangan  ke atas 14 saluran dan 395 titik tenaga pada tubuh mengikut prinsip keseimbangan Yin Yang. Konsep asas Stimulatherapy adalah untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan melalui keseimbangan pengaliran tenaga kepada organ-organ penting dalam tubuh seperti peparu, jantung, limpa, hati, ginjal dan sebagainya.

Tubuh kita dijadikan oleh Allah S.W.T mempunyai satu keupayaan yang ramai orang tidak sedar dan jarang disyukuri iaitu keupayaan untuk mengubati dirinya sendiri secara semula jadi. Contoh paling jelas adalah apabila kita luka. Luka tersebut akan sembuh secara sendiri selepas diberikan rawatan yang bersesuaian dengan izin Allah S.W.T. Begitulah halnya jika kita mengidap penyakit-penyakit tertentu.

Ubat sebenar bagi apa jua penyakit adalah keupayaan tubuh untuk mengubati dirinya sendiri secara semula jadi. 


Stimulatherapy menekankan bahawa sesuatu penyakit berlaku apabila aliran tenaga pada 14 saluran utama terhalang pada titik-titik tertentu. Ini menyebabkan aliran tenaga yang tidak seimbang mengalir pada organ-organ penting dalam tubuh. Hal ini jika dibiarkan berterusan, boleh menyebabkan sesuatu organ itu hilang fungsi. Proses ini  akan melalui empat peringkat di mana setiap peringkat mempunyai tanda amaran atau simtom tertentu.

Melalui rangsangan  ke atas 14 saluran dan 395 titik tenaga pada tubuh, Insyallah, Stimulatherapy akan membantu mengembalikan keupayaan semula jadi tubuh untuk mengubati dirinya sendiri kerana melalui kaedah urutan & “acupressure” dapat membantu tubuh mencapai tahap aliran tenaga yang seimbang.



Wednesday 22 June 2011

Tanda-Tanda Stress


ANDA Menghadapi Masalah Stress? Apakah Tanda-Tandanya?




Pertama: Anda sentiasa menghadapi masalah untuk bangun tidur. Anda sentiasa dan selalu merasa penat yang amat sangat?

Kedua: Tengkuk anda sentiasa merasa sakit dan susah untuk memusingkan kepala?

Ketiga: Kepala anda sentiasa merasa pening dan seperti berada di awang-awangan?

Keempat:  Anda sentiasa merasa seperti hendak demam dan selsema serta kepala merasa panas?

Kelima:  Anda sentiasa merasa letih yang amat sangat, sentiasa mengeliat dan malas hendak pergi kerja?

Keenam: Anda sering bercakap dengan kuat & cepat, sentiasa menguap, suka menggigit jari, mengetap bibir dan kerap menggerakkan jari?

Ketujuh:  Mudah merasa bimbang, keliru, marah, kecewa dan merasa fikiran anda terlalu sempit?

Kelapan: Anda sentiasa menghadapi kesukaran tidur (insomnia), kurang daya tumpuan, sukar kawal diri?

Kesembilan: Anda menghadapi masalah penghadaman, sukar membuang air besar (sembelit) dan masalah angin dalam badan?

Kesepuluh: Anda bertindak secara tidak logik dan selalu mengelak untuk bersosial dan banyak bersendirian?


Wednesday 1 June 2011

Kaldai Cinta


Ini adalah salah satu daripada hasil tulisan Ustaz Mohd Pahrol Mohd Juoi. Saya begitu tertarik dan meminati hasil tulisan beliau. Hingga kini beliau telah menulis beberapa buah buku dari pelbagai genre penulisan. Antaranya: Melawan Arus (antologi cerpen), Jendela Hati (antologi Sajak), Turki: Iktibar Sebuah Empayar (kembara), Ideologi Kamal Ataturk dan kesannya terhadap Turki (politik), Tentang Cinta (remaja), Dua hati Satu Rasa, Untukmu yang Tersayang, Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir atau Kurang Zikir. Terkini, beliau juga adalah ketua editor majalah SOLUSI keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd

“Dalam melaksanakan tanggung jawab sebagai isteri atau suami pasti ada kesepian dan kelelahan. Tugas rutin yang dijalankan hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan sehinggalah bertahun-tahun adakalanya menimbulkan kejemuan dan kesepian. Putaran kehidupan, pasti meletihkan. Ditambah pula kadangkala oleh sikap pasangan yang tidak memahami jiwa dan perasaan. Ketika itu segalanya hambar dan tawar.

Jika itu yang sedang terjadi pada diri kita kini, jangan dibiarkan berlarutan. Bertindaklah untuk mengubah keadaan bermula dengan mengubah jiwa, pemikiran dan perasaan sendiri. Kita tidak mampu mengubah apa yang di luar diri tetapi kita boleh mengubah diri. Pertama, perlu kuatkan jiwa. Bagaimana? Apalagi kalau bukan dengan solat dan zikir. Siti Fatimah yang mengadu keletihan dalam menguruskan rumahtangga, mendapat kekuatan dengan berzikir subhanallah, alhamdulillah dan Allah hu Akbar yang diberikan oleh ayahandanya Rasulullah saw.

Dunia ini tidak lepas daripada rasa jemu, sunyi dan lesu. Nikmat yang diburu, akan rasa jemu apabila sudah dalam genggaman. Manis, seronok dan indah hanya sementara. Tidak kira yang nikmat yang bernama anak, suami atau isteri. Tanpa cinta yang mendalam dan menyala-nyala kepada Allah, segala bentuk cinta yang lain (cinta mahkluk)  akan beransur malap dan gelap. Begitulah fitrah hati. Cinta Allah itu tapak segala cinta yang lain. Bila cinta Allah goyah, cinta yang lain akan turut rebah.

Tanpa kembali kepada cinta Allah, kita akan menjadi pemburu cinta yang dungu dan lesu. Cinta yang di depan mata dipersia, cinta fatamorgana yang tidak nyata diburu bagai nak gila. Akibat jemu, sepi dan lesu, ada yang mula bertindak membuka lembaran cinta yang  baru. Mereka ketagih untuk merasai semula keharuman dan kehangatan cinta yang pernah dialami masa muda-muda dahulu. Orang lama ini bermimpi untuk menjadi orang baru yang hidup penuh keceriaan, bertenaga dan bermotivasi dengan menjana cinta yang baru.

Lalu wujudlah apa yang dinamakan ‘teman tapi mesra’. Suami orang dan isteri orang berhubung dengan mesra. Ini hakikatnya satu lagi ‘produk’ hubungan mungkar tajaan syaitan untuk menipu manusia. Kononnya, keduanya tetap menjaga perkahwinan masing-masing, tetapi mereka akan bersahabat dengan bertemu, bermesra, berbual dan saling meluah rasa tanpa pengetahuan pasangan mereka. Teman tapi mesra ini hakikatnya adalah perbuatan yang telah menghampiri zina. Istilah itu hanya dicipta untuk mengurangkan rasa berdosa kerana bermesra dengan isteri atau suami orang.

Tepuk dada, tanya rasa hati kita yang paling dalam, sukakah kita jika isteri meluahkan rasa hatinya kepada orang lain? Bagaimana rasa siisteri, apabila diketahuinya ada perempuan lain yang dimesrai dan diambil berat persaannya oleh suaminya sendiri? Tentu ada hati yang terluka. Pasti ada rasa yang tidak rela. Sedangkan segala rahsia harus dikongsi bersama. Mengapa dia perlukan ‘teman tapi mesra’? Apakah  kerana aku sudah jadi ‘suami tapi tidak mesra’ atau ‘isteri tanpa cinta?”

Anehnya, isteri atau suami yang lupa diri ini begitu bersopan, lemah lembut, bergaya dan menjaga penampilan diri di hadapan teman mesranya. Kata-katanya sungguh sopan, tingkah lakunya sungguh baik. Bila bersama temannya dialah lelaki paling romnatis atau wanita yang paling beradab. Padahal dengan suami atau isteri di rumah, tutur katanya kasar, sapanya selamba dan tingkah lakunya serba pasif dan air mukanya yang masam dan bungkam. Sungguh pelik, dia telah menzalimi dirinya sendiri dengan memberi hak kepada yang tidak berhak manakala merampas hak daripada yang berhak. Hak suami atau isteri telah dirampas lalu diberikan kepada teman tapi mesranya itu!

Itu kisah suami atau isteri yang berkerja di luar, samada di pejabta kerajaan atau di badan-badan swasta. Mereka punya alasan, ruang dan peluang untuk selingkuh di luar. Bagaimana pula dengan isteri yang berada di rumah? Ya, dalam dunia tanpa sempadan dan era ICT ini segalanya berada di hujung jari. Dosa dan pahala boleh diraih melalui satu ‘clik’ sahaja pada papan kekunci atau tetikus komputer. Celik IT tetapi buta hati telah menyebabkan lebuh raya siber menjadi medan menjana cinta kayu tiga yang penuh dosa dan laga’ (sia-sia) ini.

Kaldai cinta. Itulah gelaran yang layak diberikan kepada seorang yang bercinta secara membabi-buta. Tanpa tujuan yang jelas dan pengenalan yang tepat, kaldai cinta ini memberi cinta sepenuh dan seluruhnya. Dan akibatnya, segala miliknya tergadai. Maruah, akhlak dan semua orang yang menyayanginya rela dikorban. Bayangkan, berkenalan dan bercinta hanya melalui laman sosial dalam internet, samada lewat facebook, twiter atau YM, namun akhirnya menumbuhkan bibit cinta di alam maya dan komitmen yang nyata dalam alam realiti.

Bayangkan bagaimana teganya seorang isteri yang sudah punya beberapa orang anak dan seorang suami rela mengabaikan tanggung jawabnya kerana cintanya yang mendalam kepada seorang lelaki seberang laut yang kononnya sangat memahami, prihatin dan menyayanginya sepenuh hati. Manakala seorang gadis pula rela meninggalkan ibu-bapa yang menyayanginya kerana mengikut kata kekasih hatinya yang bermata biru atau  yang berkulit hitam. Atau ada pula suami yang sanggup berjaga malam, berteleku di hadapan komputer riba hanya untuk berbual-bual dengan ‘kekasih’ maya.

Mula-mulanya hanya  berkenalan, kemudian berbual-bual dan akhirnya mula meluahkan masalah hidup masing-masing. Anda mungkin tidak percaya tetapi kenyataanya perkara yang seumpama ini memang sering berlaku. Alasan ‘kaldai cinta’ ini ringkas dan mudah sahaja – “saya kesepian, “suami tidak pandai  melayan perasaan”, “isteri tidak pandai berhias.” Begitulah yang kerap kita dengar. Hairan juga, mereka ini bukan baru sehari dua duduk sebumbung, sudah bertahaun-tahun, sudah beranak pinak, tetapi seolah-olah baru saat itu ternampak segala keaiban dan kecacatan pasangan.

Ironinya, pada diri kekasih mayanya semua nampak sempurna. Hanya kerana dibelai dengan kata-kata indah, dihadiahkan gambar sejambak bunga, diberikan potret gambar (yang tidak dapat dipastikan adakah itu gambar sebenarnya), siisteri yang kesepian itupun cair. Lalu berbalas-balaslah kata cinta dan ayat-ayat ‘ I love you”, “I trust you” dan sebagainya. Waktu dinihari yang sepatutnya siisteri bangun solat tahajud mendoakan anak-anak dan suami telah digunakan secara curi-curi untuk berbual dengan kekasih hati.

Orang di sebelah sana, penuh rencana licik dan strategik. Perlahan-lahan, tahap demi tahap dia menjanjikan habuan. Bermula dengan hadiah, ingin datang melawat, ada wang hadiah yang akan dimasukkan dalam akaun bank kekasih, sehinggalah jemputan datang ke negaranya untuk memulakan hidup baru atau sekadar bercuti dalam jangkamasa tertentu. Mendengar segala janji manis itu apalagi… kaldai cinta inipun melonjak kegembiraan, tidak sedar perangkap sedang menganga untuk menelannya.

Sungguh tragis, apabila kaldai cinta itu akhirnya bertukar menjadi kaldai dadah. Mereka ditipu oleh kekasih mayanya untuk membawa dadah sama masuk ke dalam negara atau keluar negara. Daripada kesepian di rumah sendiri akhirnya mereka menjadi lebih kesepian apabila menjadi penghuni penjara. Ada pula yang maruahnya tergadai, bila mereka dinodai dan gambar-gambar yang mengaibkan itu akhirnya dijadikan bahan ugutan untuk mereka menurut kehendak sendikit dadah bertaraf antarabangsa ini. Cinta yang didamba tidak ditemui, kecelakaan dan bahana baru pula yang dtang menimpa.

Jangan menyelesaikan masalah dengan satu masalah. Kesepian, kelesuan dan kejemuan tidak akan dapat diatasi oleh perbuatan dosa dan amalan yang mungkar. Sebaliknya penuhi masa dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Jika kita beriman dan memegang teguh Islam, kita akan merasai bahawa tugasan dan tanggungjawab sentiasa melebihi masa yang ada. Begitu yang pernah ditegaskan oleh tokoh tersohor Hasan Al Banna. Jadi, mukmin yang hakiki sentiasa sibuk dan dapat mengatasi dua ‘musuh’ yang sering menyebabkan manusia alpa yakni kesihatan dan kelapangan masa.

Sepatutnya, masa yang terluang digunakan untuk bermacam-macam kegiatan yang bermanfaat. Ramai isteri yang meluangkan masa untuk mempelajari serta mendalami lagi kefasihan membaca Al Quran. Ada yang buat dengan aktiviti-aktiviti pengajian. Manakala sebahagiannya pula sibuk dengan program-program kebajikan. Isteri yang solehah dan suami yang soleh soleh sedang sibuk menyediakan bekalan untuk menempuh jalan pulang, tapi dia pula sibuk mengumpul beban dosa seolah-olah tidak mahu pulang!

Alangkah sia-sianya hidup jika masa banyak dibazirkan melayani dan melayari laman sosial secara marathon ditambah pula aktiviti mungkar memadu cinta dengan lelaki bukan mahram? Alangkah bodohnya isteri atau suami yang bangun di tengah malam, mencuri-curi berbual dengan kekasih mayanya sedangkan ada isteri solehah dan suami yang soleh sedang bermunajat kepada Allah memohon keselamatan seluruh ahli keluarganya dari malapetaka dunia dan akhirat? Sah, dialah kaldai cinta yang tertipu, bercinta tanpa guna akal yang waras, hati yang bersih dan perasaan yang stabil. Di mana wajah kita hendak dihadapkan di hadapan Allah di akhirat nanti ketika kita menderhakai suami dan menentang Allah serta RasulNya hanya kerana cinta murahan, khayalan dan tidak berpijak di bumi nyata?

Kemanisan beragama hanya akan dinikmati oleh mereka yang menegakkannya dalam kehidupan. Menegakkan hukum Allah di dalam rumah tangga akan memberikan ketenangan, kebahagiaan dan kesejahteraan. Manakala melanggarnya akan mendatangkan kesusahan, penderitaan dan kekacauan jiwa.  Teman tapi mesra dan memiliki kekasih maya adalah dua penyakit jiwa yang sedang melanda rumah tangga umat Islam kini.

Puncanya? Mudah sahaja… jiwa kosong, tujuan hidup tidak jelas. Bagi mereka semua tidak kena. Suami pendiam dikatakan tidak romantik. Isteri peramah dikatakan penyebok. Bukan silap apa yang dipandang tetapi silapnya pada hati yang serong lalu pandangan jadi melencong. Benarlah kata bijak pandai, tidak ada angin yang menyebelahi mana-mana kapal yang tidak ada pelabuhan untuk dituju. Maka begitulah nasib kaldai cinta ini… hidupnya serba tidak kena, serba keliru dan celaru kerana tidak ada pelabuhan cinta sejati dan hakiki untuk dituju!”