Tuesday, 12 April 2011

ALQURAN SEBAGAI PENYEMBUH PENYAKIT

Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Dan Kami turunkan dari AlQuran itu sesuatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman (yang mempercayainya) dan tiadalah Al-Quran itu menambahkan kepada orang-orang zalim selain kerugian“ (Al-Israa :82)

Secara kasar Al-Quran memberi panduan asas yang berguna dalam menghadapi dan mengubati berbagai jenis penyakit. Terdapat banyak hadis Nabi yang menyebutkan akan kelebihan ayat-ayat atau surah-surah tertentu yang kalau dibaca, diamal atau ditiupkan sebagai "jampi" kepada mereka yang mengidap penyakit tertentu akan dapat menyembuhkannya dengan izin Allah SWT.

Islam juga mengajarkan bahawa segala jenis ubat dan terapi yang diambil untuk satu-satu penyakit hanyalah berfungsi sebagai bahan rawatan yang diklasifikasikan sebagai usaha ke arah meringankan beban derita pesakit, pendek kata bukan sebagai penyembuh. Umat Islam ditanamkan keyakinan bahawa yang menyembuhkan itu hanya Allah SWT semata-mata.

Pendek kata semakin tinggi tahap kemukminan atau akidah seseorang itu maka semakin tinggilah pula fungsi Al-Quran sebagai penyembuh itu kepada dirinya diikuti dengan semakin tingginya rahmat Allah SWT yang akan diterimanya.

Oleh kerana itu, kita disarankan supaya menjaga solat, melaksanakan perintah Allah dan memperbanyakkan doa dan memohon kepada Allah SWT dalam keadaan meyakini bahawa Allah SWT akan menyembuhkan dan menghilangkan segala kesukaran yang dialaminya.

Kita semua tahu bahawa sesuatu penyakit itu tidaklah menyerang manusia melainkan apabila telah ada qadar (ketetapan) Allah s.w.t. keatasnya sebagai suatu ujian, pembersihan dan penghapus segala dosanya atau sebagai balasan (kifarah) akibat perbuatannya (samada berupa kezaliman atau maksiat). Tidak sekali akan sembuh penyakit seseorang melainkan menurut apa yang dikehendaki Allah. Dialah yang menurunkan (penyakit) dari langit dan menurunkan bersamanya ubatnya.

Sabda Rasululllah SAW yang bermaksud ” Bagi setiap penyakit ada ubatnya, maka apabila ubat itu sesuai untuk sesuatu penyakit akan sembuh dengan izin Allah.” – Riwayat Muslim dan Ahmad.

Kita hanya berikhtiar untuk membantu mereka, ada usaha kita dan doa-doa kita yang dimakbulkan dan ada juga yang Allah tangguhkan. Yang paling penting kita berikhtiar bersungguh-sungguh dengan ikhlas kerana Allah SWT.

No comments:

Post a Comment